SENIMAN SEBAGAI PENGARAH FILEM DALAM KRISIS oleh U-Wei Bin Haji Shaari.
- terajutama
- Jan 6, 2021
- 6 min read
Nota awal: Dengan rasmi munculnya blogsite Terajutama, saya, U-Wei Bin HajSaari dan beberapa tokoh pembikin filem Malaysia; Mahadi J Murad, Nasir Jani, Anwardi Jamil Sulong, Mammat Khalid dan Aziz M Osman bersepakat mengelarkan diri kami ‘Terajutama’ menguna-gantikan terma pengarah filem atau juga sutradara yang selalu diguna-pakai.
Esei di bawah ditulis untuk katalog sebuah pameran seni tampak ‘Transition Transformative: Visual Experience’ bersamaan pamerannya pada bulan Disember 2020 lalu anjuran Satu: Creative Collective yang di terajui oleh artis Elias Yamani.
SENIMAN SEBAGAI PENGARAH FILEM DALAM KRISIS

BismillahHirohmaNirohim
Baharu ini perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengistiharkan sekali lagi perlanjutan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) untuk seluruh negara ke bulan Disember. Ini menyebabkan banyak atau terlalu banyak penyekatan hingga ada terhenti langsung aktiviti pada semua kerjaya orang ramai.
Ramai yang menggeluh merunggut akibat terganggu rutin hidup dan rutin kerja sekali gus mengefekkan isu tabii dan sosial ekonomi masing-masing. Kecuali sosial ekonomi mereka yang makan gaji iaitu mereka yang makan gaji dengan kerajaan. Ramai di bahagian swasta pun terkesan.
Dari itu dalam era pendamik ini saya dapati saya sebagai pembikin filem tidak lagi berguna; dari kebolehan serta kepakaran yang ada dan yang dipelajari bagi menghasilkan karya sebagai penyumbang pada masyarakat melalui penghasilan karya seni agar dikira punya keujudan diri dan kehadiran yang berguna. Tidak berguna di sini saya maksudkan tidak boleh berfungsi sebagai karyawan dan ini dapat dilihat dari methode dan makenisme dalam pembikinan filem yang tidak mengizinkan saya berfungsi dengan sepenuhnya. Saya akan kembali pada isu ini kelak.
Dari definasi Kamus Dewan pembikin filem adalah seseorang yang kerjanya membikin atau membuat filem dan lazimnya menjurus pada pengarah dan penerbit. Ironinya mereka yang lain seperti penulis skrip, pengarah sinematografi, pengarah produksi dan yang lain-lain dalam prodüksi dikatakan hanya sebagai pekerja filem. Ini disebabkan bagi memudahkan (walaupun ia lebih komplexs dari itu) filem dilihat sebagai hasil karya atau nukilan seseorang iaitu sang pengarah maupun ada kalanya penghargaan itu diberi pada penerbit filem. Bila berlakunya yang kemudian itu didapati penerbit terlibat mempunyai kuasa lebih dari sang pengarah dalam menyiapkan sesebuah filem. Hak ‘kepunyaan’ pengarah pada filem lagi termaktub bila pengkritik filem di Perancis mengenalkan ‘auteur theory’ dalam pengajian filem pada lewat tahun 50an.
Pembikinan filem digolongkan dalam bidang seni disebabkan perkerjaan itu dilihat sebagai kerja seni iaitu kerja yang menghasilkan kesenian iaitu keindahan. Dan dari definasi istilah seniman mengikut Kamus Dewan adalah orang-orang yang terlibat dalam penghasilan kerja karya seni maka itu membuat pengarah filem adalah seorang seniman. Satu penyataan benar dan juga tidak. Pada dasarnya memang kerja filem adalah kerja yang indah yang dituntut oleh pengertian seni itu sendiri.
Walaubagaimana pun dari semantik bukan orang-orang filem sahaja adalah seniman kerana pengkaryaan terdapat pada yang lain seperti orang-orang teater, ahli-ahli muzik, pelukis, pengarca, photografer, penyanyi dan juga penulis. Dan di zaman digital ini telah ujud berbagai corong cabang bagi penghasilkan karya melalui komputer yang dianggap dan diterima sebagai karya seni.
Pernah saya mengatakan saya meletak seniman, cendiakawan dan ulamak pada mertabat yang sama. Mereka mempunyai banyak kriteria persamaan, baik dari menjalankan kehidupan seharian mahu lagi dalam melaksanakan kerja tugas masing-masing. Satu bibit yang mereka bertiga kongsi bersama adalah penghargaan yang diberi pada mereka datang dari hasil keputusan yang mereka ambil. Mereka dinilai kerana keputusan dan tindakan yang dibuat dan hanya sah diguna pakai dengan adanya penglibatan orang sekeliling mereka.
Mereka punya perhubungan istemewa dengan masyrakat atau rakyat sekeliling. Bak kata perpatah “hebat guru kerana anak muridnya”.
Seniman seperti ulamak seperti juga cendikiawan memerlukan tapak ruang yang dipenuhi oleh masyarakat atau rakyat. Agar ada penyaksian manusia supaya mampu bertindak balas dan termanfaat dari keputusan penilaian mereka. Mereka ini tidak punyai erti jika ujud dalam perseorangan atau lebih tepat mereka tidak dapat ujud di dalam ruang kekosongan. Ka’ab bin Malik pemuisi yang dikira seorang cendiakawan sezaman Rasulullah Muhammad merasa hidupnya sempit dan sengsara bila dipulaukan oleh semua orang termasuk ahli keluarga walaupun selama 50 hari.
Sebagaimana cendiakawan merupakan seorang rausyanfikir (ahli fikir), ulamak seorang ilmuan dan seniman pula seorang tukang tetapi pada hakikatnya mereka ini lebih dari itu. Pada hemat saya pengertian seniman melebihi dari sekadar ‘mereka yang terlibat dalam penghasilan kerja seni’, ia merangkumi keilmuan dengan disiplin hidup, sikap jati diri dan maruah diri sehingga menjadikan ia satu pegangan hidup. Perlakuan yang dilakukan di setiap waktu dalam setiap harı hinggalah nafas terakhir.
Oleh itu bukan semua tukang seperti pembikin filem boleh disebut sebagai seniman. Sebagaimana bukan sekadar menjadi seorang ilmuan agama melayakkan seorang menjadi ulamak dan menganggap rausyanfikir adalah juga cendiakawan. Banyak lagi nilai tambah yang dituntut wajib dipunyai oleh mereka. Kita mengharap ulamak mempunyai kemulian hati selaras seniman dan cendiakawan punya keberanian dan kejujuran. Jika dalam hal kefahaman takut mereka hanya takut pada tuhan dan larangan agama mereka.
Edward Said ada mengatakan tentang cendiakawan : “seorang intelektual adalah seorang yang mandiri dan menyampaikan pandangannya dengan segala kejujuran dan kearifan tanpa menapis atau menyesuaikan rumusannya untuk menyedapkan hati para pengendali kekuasaan”. Ini juga diguna pakai untuk ulamak dan seniman.
Berbalik pada pembikin filem; pembikin filem dapat dibahagikan pada dua jenis, satu seorang tukang (technician) dan dua seorang perintis (scientist). Walaupun jenis tukang amat cekap dan mahir menjalankan perkerjaan sebagai pembikin filem memberikan hasıl kerja yang konsisten, namun cara menangani pembikinan filem jenis perintis jauh berbeza. Berbekalkan keilmuan yang mendalam sang perintis mengangkat keilmuan pertukangannya dengan keberanian dan visi yang terkeluar dari yang telah ada sebelumnya. Sekurang-kurangnya untuk mencapai visi mereka berani lakukan methode yang belum dilakukan hendak pun menghadapi risiko untuk gagal.
Mereka berani mengambil jalan yang belum dilalui untuk menolak benteng-benteng yang telah ada.
Ingin digaris bawahkan di sini, kesenimanan pembikin filem perintis, cendiakawan dan ulamak kala melakukan ‘tugas’ tidak meminta belas sempati pada masyarakat sekeliling kerena mereka ini orang-orang merdeka. Merdeka mereka dimaksudkan tidak terikat dan berobligasi pada sesiapa baik pada mana-mana badan maupun pada kerajaannya sendiri kecuali pada pegangan pendirian mereka dan tuhan mereka. Ini menunjukan perlakukan mereka bukan untuk merai populariti tetapi kebenaran yang mereka percaya yakin dan pegang. Mereka mengambil tanggong jawab penuh atas akibat keputusan mereka ambil.
Berbalik pada era pandemik yang sedang kita semua alami: langkah kerajaan untuk membendung pembiyakan virus corona covid-19 berleluasaan adalah dengan mengeluarkan garis panduan social berjarak, bertopeng muka, membasuh tangan dan memberi ‘Standard of Procedures’ (SOP) kala keluar rumah menjalankan tugas. Kawalan merentas daerah juga diperkenakan selain yang lagi derastik iaitu ‘total lockdown’. Arahan ini semua menunjukan tindakan yang menghalang masyarakat bergaul dan berinteraksi sama sendiri demi keselamatan.
Tetapi penyekatan berinteraksi antara manusia jadi penyebab menyempitkan gerak kedudukan pembikin filem dalam melaksanakan tugasnya. Pembikin filem khusus yang hanya mengarah dan tidak menulis bahan sendiri iaitu skrip sendiri melihat ini sebagai membunuh sang pembikin filem. Pembikin filem tidak dapat tidak tetapi bergantung pada kepakaran yang lain dan memerlukan sumbangan orang ramai untuk mengangkat filem impiannya.
Mereka ujud di antara dan untuk bersama khalayak ramai walaupun mereka tinggal berjarak dengan masyrakat sekeliling. Ini boleh kita perhatikan rumah-rumah seniman lazimnya berjauhan sedikit atau terletak di pinggir kampung atau kota.
Bahan skrip dipenuhi oleh watak-watak manusia dengan pergolakan hidup. Karya yang melihat tentang kemanusian dan kebenaran dari sudut kejujuran. Sekurang-kurang sebagitulah niat setiap pembikin filem. Membuat penyelidikan sehingga mengenal watak-watak di dalam habitat masing-masing kemudian berusaha untuk munculkan ke layar perak. Tidak ada drama jika kejadian tidak punya krisis, dan krisis yang menarik adalah yang berkait dengan manusia. Penglibatan manusia dengan manusia, manusia dengan alam. Manusia diperlukan di dalam filem. Karya yang mengali dan mempamerkan kemanusian. Dan ini tercapai dengan kehadiran manusia. Hendak pun bilamana satu-satu karya tidak mengambarkan atau mengisahkan tentang manusia, tetap kita cuba ‘menangkap’ kemanusian itu dari dalam sinaran cahaya matahari contohnya di sebuah lukisan landskap.
Pembikin filem pada dasarnya di kelilingi orang dan proses pembikinan filem memerlukan orang-orang bekerja bersama di dalam satu ruang. Di perengkat syuting di ruang yang telah disediakan oleh pereka produksi, yang di hidupkan suasana dengan cahaya oleh sinematografer. Di situ pelakun akan melakunkan watak-watak mereka dengan pakaian yang telah disediakan oleh pekerja di bahagian busana dan make-up. Penglibatan orang dalam berbagai bidang dari peringkat pre-produsi hingga ke pasca-produksi sehingga ia selesai menjadi sebuah filem yang boleh ditonton.
Sebuah filem belum sempurna sehingga ia ditonton seperti sebuah buku hanya bahan cetakan selagi ia belum dibaca. Untuk menyempurnakan status filem itu ia perlu masyarakat dan seorang pembikin filem akan merasa sangat bangga dan bahagia jika filemnya mendapat sambutan yang baik iaitu lagi ramai orang menonton filem lagi bagus. Dan kaedah ini adalah menonton di pawagam yakni bersama orang di dalam satu ruang. Akhir kata bila seseorang pembikin filem diputuskan bersama dengan orang lain dia tidak akan dapat berkarya mengerjakan tugasnya sebagai pembikin filem.
Wassalam.
U-Wei Bin HajiSaari November 2020
When you get home please sit down and write a few of your lines, I said when you get a home please write down a few of your lines It’ll be such a consolation Lord it will ease my worried mind.
Fred McDowell (a delta bluesman)

Comentarios